ORANG awam cedera dibawa ke hospital. FOTO/REUTERS
AFP

TEHRAN: Seorang maut manakala puluhan lagi cedera dalam gempa bumi kuat berukuran. 6.0 yang melanda barat Iran bersempadan dengan Iraq awal hari ini.

Ia menggegarkan kawasan terletak 26 kilometer di barat daya Javanrud di wilayah Kermanshah, berhampiran lokasi gempa bumi kuat tahun lalu yang mengorbankan ratusan nyawa.

Gabenor Kermanshah, Houshang Bazvand, memberitahu agensi berita IRNA bahawa sekurang-kurangnya 90 cedera dan seorang terbunuh.

Agensi berita Tasnim, terdahulu melaporkan lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung di bandar Novosbad dan tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah kematian sama.

Bazvand berkata, pusat krisis sudah ditubuhkan, dengan hospital dan pertubuhan bantuan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Ada laporan menyatakan gempa bumi itu dirasakan sehingga Iraq, dan IRNA melaporkan berlaku beberapa gegaran susulan.

Imej di media sosial menunjukkan orang ramai dikejar ke hospital tetapi cuma berlaku kerosakan kecil pada infrastruktur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:37 PM