ANTARA babak dalam filem ‘Searching’. FOTO/AGENSI
Reuters

LOS ANGELES: Selepas ‘Crazy Rich Asians’, satu lagi filem Asia kini semakin menonjolkan keupayaan untuk mendapat tempat di Hollywood.

‘Searching’, yang ditayangkan di Amerika Syarikat hari ini, seminggu selepas ‘Crazy Rich Asians’, berkisarkan cubaan seorang bapa mengesan anak perempuannya yang hilang.

Bukan hanya pelakon filem bebas itu, aktor berdarah Korea-Amerika, John Cho dan keluarga Asia-Amerika yang diperkatakan, malah keseluruhan filem itu menjadi perbincangan menerusi laman web, media sosial, telefon bimbit dan komputer ketika Cho menyelongkar kehidupan peribadi anak perempuannya bagi mencari petunjuk kehilangannya.

“Ini adalah thriller amat klasik yang diceritakan menerusi cara amat luar biasa.

“Setiap rakaman diberitahu daripada perspektif peralatan teknologi yang kita gunakan setiap hari untuk berkomunikasi,” kata pengarah filem baru, Aneesh Chaganty, 27, yang berdarah India-Amerika.

Beliau sebelum ini ialah bekas pengarah komersil untuk Google.

“Dari segi sejarah, tiada filem dilakukan dengan cara yang kami cuba buat.

“Saya rasa filem ini mengenai banyak aspek negatif teknologi selain impak positif,” katanya.

Ketika ‘Crazy Rich Asians’, filem romantik komedi mengenai keluarga mewah di Singapura, yang dianggap filem pertama dari studio Hollywood dalam masa 25 tahun mengenengahkan semua pelakon Asia, ‘Searching’ pula memaparkan keluarga Asia-Amerika tanpa sebab tertentu.

“Ini bukan hanya Asia-Amerika. Ia boleh jadi sesiapa sahaja,” kata aktres Debra Messing, yang melakonkan watak detektif polis, dan satu-satunya pelakon kulit putih yang memegang peranan besar dalam filem itu.

Filem itu mengambil masa 13 hari untuk dirakamkan dan 18 bulan untuk tujuan suntingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:32 AM