ALEXANDER LUKASHENKO

MINSK: Pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko hari ini memecat Perdana Menteri beliau dan beberapa anggota kerajaan penting, susulan satu skandal rasuah yang menyaksikan sejumlah pegawai kanan turut ditahan.

Perdana Menteri Andrei Kobyakov akan digantikan dengan bekas ketua bank pembangunan, Sergei Rumas, menurut kenyataan pejabat media presiden.

Beberapa naib perdana menteri serta menteri ekonomi juga akan dipecat.

“Saya tidak akan menyebut nama, namun kerajaan kita mempunyai masalah. Satu program diumumkan kemudian program lain akan dijalankan.

“Saya tidak pernah membenarkan perkara sebegini dan tidak akan membenarkannya! Kerajaan baharu dibentuk dengan janji sedemikian, justeru kita mesti mematuhi janji ini,” katanya,” menurut kenyataan Lukashenko.

Pada musim panas ini, satu skandal rasuah menggegarkan perkhidmatan negara bekas Soviet itu.

Pihak berkuasa menahan puluhan pegawai kanan kesihatan, wakil syarikat perubatan dan ubatan atas dakwaan menyeleweng jutaan dolar dana kerajaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 10:39 PM