KEADAAN bas yang mengorbankan 24 penumpang. FOTO/AFP
AFP

QUITO: Seramai 24 mangsa maut, manakala 22 lagi cedera selepas bas yang membawa penumpang warga Colombia dan Venezuela merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna lalu terbalik di Ecuador, awal pagi semalam.

Menurut pihak berkuasa, Kedutaan Venezuela dan Colombia sudah dimaklumkan mengenai insiden membabitkan warga negara masing-masing.

“Sebahagian besar mangsa adalah rakyat Colombia,” kata setiausaha keselamatan Quito, Juan Zapata.

Pihak berkuasa berkata, ketika kejadian, bas yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan asing itu, sedang menuruni lebuh raya yang terletak 30 kilometer di timur Quito.


MAYAT mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. FOTO/AFP

“Bas berkenaan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna lalu terbalik, sebelum merempuh tiga rumah yang terletak di bahu jalan,” katanya.

Ketua jawatankuasa operasi kecemasan Quito, Christian Rivera, berkata turut terkorban, tiga warga Ecuador yang menaiki kenderaan pelbagai guna terbabit dan tiga kanak-kanak.

“Kami sedang berusaha mengesahkan identiti mangsa terkorban sebahagian besarnya warga Colombia dan Venezuela.

“Malah, pasukan kecemasan sudah dihantar ke lokasi insiden untuk membantu operasi menyelamat,” kata Rivera di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Ogos 2018 @ 8:26 AM