PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat mangsa gempa bumi. - Foto Sutopo Purwo Nugroho
Agensi

JAKARTA: Selepas lebih seminggu, jumlah korban gempa bumi Lombok kini mencecah 436 orang dengan 259 daripada mangsa sudah dikenal pasti identitinya, manakala lebih 1,300 mangsa cedera dan 353,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Menurut AFP, jumlah yang diumumkan itu sehingga semalam, namun pasukan penyelamat masih menemui mayat di bawah runtuhan bangunan.

Gempa bumi 6.9 magnitud pada 5 Ogos lalu, meranapkan ribuan rumah, masjid dan premis perniagaan di Lombok, seminggu selepas gempa bumi yang menyebabkan 17 terbunuh.

Lebih 500 gegaran susulan dicatat sejak 5 Ogos lalu, dengan yang terkuat berukuran 5.9 magnitud berhampiran Mataram, Khamis lalu, meranapkan sejumlah bangunan dan menyebabkan belasan lagi penduduk terbunuh.

“Sehingga semalam, pasukan pencari dan penyelamat masih menemui mayat mangsa di bawah runtuhan bangunan dan tanah runtuh,” kata jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

Menurutnya, 783 daripada mangsa yang cedera itu ialah mereka yang mengalami kecederaan parah dan sebahagian besar mangsa maut akibat ditimpa runtuhan bangunan.

Liputan 6 melaporkan, kawasan paling teruk terjejas ialah Lombok Utara yang mencatat 374 kematian dengan 137,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Lombok Barat mencatat 37 kematian, Kota Mataram (sembilan), Lombok Timur (12), Lombok Tengah (dua), dan Denpasar (dua).

Menurut Sutopo, tiga helikopter, termasuk satu milik tentera digunakan untuk menghantar bekalan dan bantuan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang amat memerlukan air bersih, makanan dan khemah.

Sementara itu, perangkaan kerajaan Indonesia menunjukkan gempa bumi itu menyebabkan kerugian, termasuk kerosakan bangunan dan infrastruktur serta produktiviti berjumlah AS$342 juta (RM1.4 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 6:05 AM