AFP

SAN FRANCISCO: Sebuah pesawat penumpang terhempas Jumaat lalu di lapangan terbang Seattle-Tacoma di sini selepas dilarikan seorang kakitangan penerbangan yang cuba membunuh diri, lapor pihak berkuasa tempatan.

Difahamkan, ketika kejadian dua pesawat tentera udara F-15 dikerah untuk mengesan pesawat yang tiada penumpang itu.

Pihak berkuasa menafikan insiden terbabit bermotifkan keganasan dan tiada pesawat F-15 terbabit dalam nahas berkenaan.

Pesawat itu terhempas di selatan Puget Sound,” kata Lapangan Terbang Sea-Tac, sambil menambah bahawa operasi di hab pengangkutan udara itu kini kembali seperti biasa.

“Ia bukan insiden membabitkan pengganas. Menerusi maklumat yang disahkan, suspek yang membunuh diri ini adalah seorang lelaki. Kami tahu siapa dia dan tiada pihak lain terbabit,” kata Sherif Pierce County.

Suspek itu dikenal pasti sebagai pemastautin daerah Pierce berusia 29 tahun yang ‘bertindak berseorangan’.

Pejabat sherif mengesahkan bahawa tiada penumpang lain di dalam pesawat ketika ia terhempas.

Video yang dirakam saksi kejadian menunjukkan kapal terbang itu membuat satu pusingan, kemudian terbang rendah di atas permukaan air sebelum terhempas.

Alaska Airlines di Twitter berkata pesawat dua enjin turboprop Q400 itu dimiliki oleh syarikat penerbangan sekutunya, Horizon Air.

Media tempatan melaporkan lelaki yang melarikan pesawat itu adalah seorang mekanik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 9:00 PM
IMEJ yang dirakam menunjukkan sebuah pesawat penumpang yang dilarikan seorang kakitangan penerbangan cuba membunuh diri di lapangan terbang Seattle-Tacoma. FOTO AFP