RIBUAN orang yang datang memberi penghormatan terakhir kepada Karunanidhi. -Foto AFP

Chennai (India): Dua orang maut manakala 41 yang lain cedera dalam rempuhan ketika menghadiri upacara pengebumian ahli politik veteran India, Muthuvel Karunanidhi di Chennai.

Karunanidhi, yang meninggal dunia pada usia 94 tahun, Selasa lalu, pernah berkhidmat lima kali sebagai ketua menteri Tamil Nadu.

BBC melaporkan, polis sukar mengawal ribuan orang yang datang memberi penghormatan terakhir.

Menurut Times of India, orang ramai tiba-tiba meluru menyebabkan mereka saling hilang imbangan dan jatuh.

Pegawai hospital Rajiv Gandhi, A Elango dipetik Reuters berkata: “Seorang wanita dan lelaki dibawa ke hospital tetapi sudah meninggal dunia.”

Kerajaan negeri sebelum ini enggan membenarkan Karunanidhi dikebumikan di Marina Beach kerana kononnya ia dikhaskan untuk ketua menteri yang mati ketika memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan dia dikebumikan di lokasi itu yang juga menjadi perkuburan selebriti politik seperti MG Ramachandran serta J Jayalalitha. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 11:35 PM