TAUFAN Shanshan. Foto JMA/Himawari-8, RAMMB/CIRA
Reuters

JEPUN dijangka berdepan hujan lebat dan angin kuat hari ini ketika taufan ganas diramal bergerak menuju ke kawasan berhampiran Tokyo.

Ribut kategori dua yang dikenali sebagai Taufan Shanshan, bersempena nama kanak-kanak perempuan China itu dijangka akan melemah ketika menghampiri bahagian timur Pulau Honshu Jepun.

Agensi kaji cuaca Jepun memberi amaran bahawa Tokyo dan beberapa kawasan berhampiran bakal menerima sehingga 350 milimeter (mm) air hujan dalam masa 24 jam menjelang tengah hari esok dengan kelajuan angin sehingga 180 kilometer sejam (kmh).

Selepas membadai kawasan berhampiran Tokyo, ribut itu dijangka beralih ke bahagian timur laut Honshu sebelum melemah menjadi ribut tropika dan menuju ke Pasifik.

Kawasan banjir di barat Jepun yang mencatat korban Julai lalu dijangka terselamat.

Jepun sering dilanda bencana akibat cuaca sejak awal Julai lalu, termasuk gelombang panas yang menyaksikan suhu mencecah 41.1 Celsius dan membunuh sekurang-kurangnya 132 orang pada 5 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 1:27 PM