MENARA Eiffel. Foto REUTERS/Benoit Tessier
AFP

MERCU tanda terkenal di sini, Menara Eiffel akan dibuka semula kepada pelancong mulai hari ini, selepas ia ditutup sejak tengah hari Rabu lalu, berikutan tindakan mogok oleh pekerjanya.

Keputusan itu dibuat susulan perbincangan antara pekerja terbabit dengan persatuan pengendali Menara Eiffel, (SETE).

“SETE sedar masalah ini (penutupan) menimbulkan kesulitan dan masalah kepada pengunjung Menara Eiffel dan ia turut menjejaskan imej bandar raya Paris dan Perancis.

“Justeru, kami memohon maaf kepada semua pihak, penduduk Paris, warga Perancis dan semua pelancong asing,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa tindakan mogok dilancarkan oleh kira-kira 300 pekerja menara itu membabitkan pelbagai isu, termasuk masalah penyeluk saku dan kerja penyelenggaraan

“Ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila perkara ini berlaku dan pengunjung yang menjadi mangsa, tetapi kami sudah melakukan apa yang terdaya untuk mengelakkan ia daripada terjadi,” kata jurucakap kesatuan sekerja, Gabungan Buruh Am (CGT), Denis Vavassori.

Katanya, masalah kesesakan boleh dikurangkan jika orang ramai diberi peluang untuk menggunakan lif tanpa mengira jenis tiket yang mereka miliki, sekali gus dapat mengurangkan tempoh menunggu.

Sebelum ini, kakitangan terbabit dilaporkan berang dengan keputusan pihak pengurusan bulan lalu, iaitu untuk mengetepikan separuh daripada tiket harian Menara Eiffel bagi pelancong yang ingin membeli lebih awal secara dalam talian, mengikut masa yang sesuai dengan lawatan mereka.

Ketika ini, hanya kira-kira 20 peratus daripada jumlah tiket bagi menaiki menara setinggi 324 meter itu boleh ditempah lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 10:56 AM