KANAK-KANAK Afghanistan di kem pelarian di Herat antara ribuan kanak-kanak yang menjadi pelarian akibat peperangan di negara itu. - EPA
AFP

Herat, Afghanistan: Seorang budak perempuan Afghanistan yang dipaksa berkahwin dengan lelaki berusia dua kali ganda daripadanya diseksa hingga mati oleh suaminya dipercayai bermotifkan balas dendam.

Kanak-kanak itu dikenali sebagai Hameya, berusia tujuh hingga 10 tahun, dikahwinkan dengan lelaki 20-an melalui adat pertukaran pengantin dikenali ‘badal’.

Menerusi ‘badal’ dua keluarga bertukar pengantin perempuan bagi menjimatkan kos, termasuk tidak perlu membayar wang hantaran.

Jurucakap polis wilayah Badghis, Naqibullah Amini, berkata, selepas pengantin perempuan dari keluarga lelaki itu mati dipercayai dibunuh suaminya (dari keluarga Hameya), suami Hameya mula menyeksa isterinya bagi membalas dendam sehingga mangsa akhirnya meninggal dunia.

Menurutnya, mayat budak perempuan itu ditemui malam Ahad lalu dan suami mangsa melarikan diri manakala bapa Hameya kini ditahan untuk soal siasat.

Jurucakap gabenor wilayah itu, Jamshid Shahabi, mengesahkan Hameya dikahwinkan melalui adat ‘badal’ dengan lelaki berkenaan enam bulan lalu, sebagai isteri kedua.

Umur sah perkahwinan di Aghanistan ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun bagi lelaki namun undang-undang itu sering tidak dipatuhi dengan adat pengantin kanak-kanak masih berleluasa akibat kemiskinan dan jaminan keselamatan.

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekurang-kurangnya seorang bagi setiap tiga wanita Afghanistan berkahwin sebelum berusia 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Ogos 2018 @ 4:30 PM