16 daripada kira-kira 20 juta budak perempuan dan wanita terbabit dalam industri seks India adalah mangsa pemerdagangan manusia. FOTO REUTERS
Reuters

Chennai: Polis India menyiasat penggunaan hormon pembesaran dalam kes pemerdagangan seks susulan penangkapan lapan orang yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak di rumah pelacuran di Telangana.

Seramai 11 budak perempuan termasuk empat di bawah usia tujuh tahun diselamatkan dari rumah pelacuran di bandar Yadagirigutta yang menjadi tempat mereka dilatih untuk menjadi pekerja seks, kata pegawai polis kanan, Mahesh Bhagwat, semalam.

“Suspek mengaku menyuntik hormon pada kanak-kanak terbabit. Fakta kes jelas iaitu kanak-kanak berkenaan dilatih dan disuntik dadah untuk nampak lebih berusia.

“Kami juga memburu doktor membekalkan dadah kepada suspek,” katanya ketika dihubungi melalui telefon.

Daripada kira-kira 20 juta budak perempuan dan wanita dalam industri seks India, 16 juta adalah mangsa pemerdagangan manusia, kata organisasi bukan kerajaan.

Laporan kerajaan Bengal Barat pada 2017 mengetengahkan cara ‘menyediakan’ gadis yang dijual kepada rumah pelacuran termasuk dipukul, dirogol dan tidak diberi makan.

Lapan suspek ditahan dalam serbuan Isnin lalu membayar keluarga mangsa sehingga 200,000 rupee (RM11,900) bagi setiap kanak-kanak selain turut menyasarkan anak yatim.

Doktor membekalkan dadah kepada rumah pelacuran terbabit mengenakan bayaran 25,000 rupee (RM1,500) untuk setiap mangsa, menurut kenyataan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 9:11 PM