KESAN kerosakan akibat gempa bumi di Lombok, yang tular di media sosial. FOTO Reuters
Reuters

SEKURANG-KURANGNYA 10 maut dan banyak bangunan musnah dalam gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 di Lombok Indonesia, hari ini.

Jurucakap agensi pencegahan bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian berlaku ketika penduduk sedang nyenyak tidur.

“Sekurang-kurangnya 10 maut, manakala 12 lagi cedera dan penduduk bertempiaran lari ke kawasan lapang jauh dari bangunan yang runtuh. Fokus utama kini adalah misi pemindahan dan menyelamat,” katanya.

Menurut Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berpusat pada 50 kilometer di timur laut bandar Mataram di bahagian utara pulau Lombok.

Seorang pelancong, Jean-Paul Volckaert berkata, dia tersedar dari tidur selepas merasa satu goncangan kuat.

“Kami melompat dari katil kerana cuba mengelak dari ditimpa serpihan runtuhan,” katanya yang menginap di Puncak Hotel dekat Senggigi di Lombok.

“Syukur hotel tempat kami menginap tidak rosak, tetapi saya percaya penduduk kampung mungkin paling terjejas kerana kejadian berlaku awal pagi,” katanya lagi ketika dihubungi Reuters.

Gegaran itu dikatakan turut memberi kesan kepada Taman Negara Gunung Rinjani, sebuah destinasi pendakian popular di negara itu.

“Aktiviti pendakian di Gunung Rinjani dihentikan sementara kerana ada tanda-tanda berlaku tanah runtuh di sekeliling gunung itu,” kata Nugroho dalam satu kenyataan.

Gempa bumi yang melanda sekitar jam 6.47 pagi dengan kedalaman hanya 7 kilometer itu adalah kedalaman cetek yang mampu memberi kesan lebih buruk kepada kawasan berhampiran. Gempa susulan berlaku kurang sejam selepas itu.

Menurut Nugroho gegaran itu tidak mencetus sebarang amaran ombak besar mahupun tsunami.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:38 PM