VERONITA tenang di mahkamah ketika hakim menjatuhkan hukuman penjara dan denda selepas didapati bersalah melacurkan suaminya sendiri. FOTO- Jawa Pos
Agensi

SURABAYA: Seorang wanita dihukum penjara dua tahun dan didenda Rp200 juta (RM56,157) oleh sebuah mahkamah di sini kelmarin selepas didapati bersalah menjual suaminya sendiri di laman sosial.

Panel hakim yang diketuai Harijanto berkata, tertuduh, Veronita, 20, terbukti bersalah dan layak untuk dihukum mengikut undang-undang pemerdagangan manusia.

Pendakwa raya sebelum ini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda Rp800 juta (RM224,637) tetapi hakim mengurangkan hukuman berkenaan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama baik ketika perbicaraan.

Menurut laporan media Indonesia, aktiviti Veronita itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah bilik di Hotel Sparkling, Jalan Kayoon, Surabaya pada Januari lalu.

Ketika serbuan berkenaan polis menahan wanita itu dan suaminya yang berusia 24 tahun serta seorang lelaki yang dipercayai pelanggan mereka.

Veronita dilaporkan menubuhkan satu kumpulan di Facebook bagi menawarkan suaminya untuk aktiviti seks dengan bayaran antara Rp300,000 (RM84) hingga Rp500,000 (RM140).

Ketika disoal siasat polis, Veronita mengaku dia menjual suaminya untuk mendapatkan wang kerana mengalami masalah ekonomi.

Wanita itu turut mengaku, mereka baru menjalani aktiviti itu sebanyak empat kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:08 AM