AFP

WANITA berusia 19 tahun ditahan selepas mayat bayi baru dilahirkan ditemui dalam tandas pesawat penumpang, kata polis.

Anak kapal penerbangan domestik AirAsia semalam menemui mayat berkenaan sebelum pesawat mendarat di New Delhi.

“Doktor daripada pasukan perubatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi mengesahkan bayi itu dilahirkan dalam penerbangan,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

AirAsia berkata, semua penumpang wanita disoal sebelum suspek dikenal pasti dan ditahan.

“Wanita berusia 19 tahun mengakui melahirkan bayi itu dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

“Dia mendakwa dirinya ahli sukan, tetapi enggan melakukan pemeriksaan kesihatan atau memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu,” kata pegawai polis Sanjay Bhatia kepada AFP.

Penyiasat kini cuba menghubungi keluarga remaja itu untuk mendapat butiran lanjut. Dia juga menghadapi hukuman denda dan penjara maksimum sehingga dua tahun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 4:30 PM