AFP

SEORANG penuntut menghalang pengusiran warga Afghanistan dari Sweden apabila enggan duduk sebelum penerbangannya berlepas dari Gothenburg.

Dalam rakaman video yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebooknya, Elin Ersson, 21, dari Gothenburg University enggan duduk dan menutup telefon bimbitnya ketika di dalam pesawat Turkish Airlines yang bakal berlepas ke Istanbul.

"Terdapat individu yang diusir ke Afghanistan di mana berlangsungnya peperangan dan dia akan dibunuh," kata Errson kepada anak kapal yang berang dengan tindakannya.

“Saya tidak akan duduk sehingga orang ini dibawa keluar dari pesawat ini," katanya.

Bagaimanapun, tindakan Ersson turut mendapat aduan daripada penumpang lain dan seorang penumpang kedengaran menyuruhnya supaya duduk.


ELIN Ersson enggan duduk dan menutup telefon bimbitnya bagi menghalang pengusiran warga Afghanistan. FOTO Facebook Elin Ersson

"Saya kesal lelaki ini akan mati dan anda lebih risau terlepas penerbangan anda," katanya kepada anak kapal Turkish Airlines.

Pihak lapangan terbang Sweden berkata, kejadian itu berlangsung Isnin lalu.

Sementara itu, jurucakap Perkhidmatan Penjara dan Probation Sweden mengesahkan juruterbang akhirnya memutuskan supaya Ersson dan warga Afghanistan berusia 50-an itu serta pengiringnya meninggalkan pesawat, sekaligus menggagalkan pengusirannya.

Ulf Mossberg memberitahu AFP, kelmarin bahawa juruterbang mempunyai hak undang-undang berhubung apa yang berlaku dalam pesawat dan beliau membuat keputusan itu atas dasar keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:04 PM