Pengawal peribadi Erdogan memujuk lelaki yang mahu membunuh diri di atas Jambatan Syahid 15 Julai di Istanbul untuk bertemu dengan Presiden Turki itu pada 2015. - Agensi
Agensi

Istanbul: Turki mempunyai tiga jambatan yang indah dengan reka bentuknya seperti Jambatan Golden Gate di San Francisco, namun ia juga menjadi lokasi popular mereka yang mahu membunuh diri kerana dianggap tempat terbaik untuk mati.

Menurut laporan media Turki, sejak tiga tahun lalu, polis Turki berjaya menyelamatkan 645 orang daripada terjun dari tiga jambatan itu, termasuk seorang yang pernah diselamatkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2015 ketika konvoi kenderaannya melalui Jambatan Bosphorus (kini dinamakan Jambatan Syahid 15 Julai) di Istanbul.

Menurut Daily Sabah, pada 2015, Direktorat Keselamatan Istanbul mewujudkan pasukan perunding dianggotai 24 pegawai polis yang tugas mereka menghalang cubaan membunuh diri di Jambatan Syahid 15 Julai, Jambatan Fatih Sultan Mehmet dan Jambatan Yavuz Sultan Selim.

Ketiga-tiga jambatan itu menyambungkan Istanbul Asia ke Istanbul Eropah.

Anggota pasukan terbabit diberi latihan psikologi, komunikasi krisis, pendekatan memujuk, bahasa badan dan mengawal kemarahan.

Seorang anggota pasukan, Mehmet Ali Demir berkata, objektif utama mereka ialah mengenali lebih dekat seseorang yang mahu membunuh diri.

Menurutnya, dengan mengetahui latar belakang seseorang itu, anggota pasukannya akan menetapkan kaedah rundingan bagi menghalang ia membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 11:42 AM