MASJID al-Aqsa. FOTO EPA
Agensi

PERANG agama boleh meletus di wilayah ditakluki Palestin jika pelampau Yahudi dengan bantuan polis Israel terus menceroboh Masjid al-Aqsa, tegas Mufti Besar Baitulmaqdis, Sheikh Mohamed Hussein.

Beliau memberi amaran itu selepas 1,000 pelampau Yahudi menyerbu masuk kiblat ketiga Islam itu semalam, lapor agensi berita Wafa.

Sheikh Mohamed Hussein dalam satu kenyataan juga menegaskan bahawa perbuatan pelampau Yahudi itu tidak akan mengubah senario masyarakat Arab-Islam di Baitulmaqdis.

"Bagaimanapun, tindakan itu jika dilakukan terus-terusan akan mencetuskan perang agama," katanya.

Pelampau Yahudi itu masuk ke perkarangan Masjid al-Aqsa diiringi anggota polis bersenjata lengkap.

Hussein berkata, penduduk Palestin sedar bahawa perbuatan seperti itu bertujuan mencetuskan insiden tidak diingini.

"Bagaimanapun, masyarakat kami akan terus mempertahankan al-Aqsa," katanya.

Pegawai Pihak Berkuasa Yayasan Agama Baitulmaqdis yang dibiayai Jordan, Firas al-Dibis, berkata, anggota polis Israel menceroboh perkarangan masjid suci itu sebelum pelampau Yahudi menyusul.

Anggota polis Israel terlebih dulu melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan itu.

Pencerobohan itu berlaku beberapa hari selepas Knesset (Parlimen Israel) meluluskan undang-undang 'aparteid' mengiktiraf Israel sebagai 'negara penduduk Yahudi.'

Bagi orang Islam, Masjid al-Aqsa adalah tapak suci ketiga selepas Makkah dan Madinah.

Orang Yahudi pula menggelarnya 'Temple Mount' dan mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi purbakala.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur ketika perang Arab-Israel 1967. Ia mengisytiharkan keseluruhan kota itu sebagai miliknya pada 1980.

Israel juga menetapkannya sebagai ibu kota negara Yahudi, langkah yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 4:05 PM