VAN Hook dikenakan hukuman mati dengan menggunakan suntikan maut. FOTO/AGENSI
AFP

CHICAGO: Mahkamah Ohio menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang banduan yang menggunakan alasan ‘gay panic’ sebagai pertahanan untuk pembunuhan kejam yang dilakukannya lebih tiga dekad lalu, sebelum menyesalinya beberapa tahun lalu.

Robert Van Hook memohon maaf sebelum pelaksanaan suntikan maut ke atasnya kerana membunuh David Self pada 1985.

Kedua-dua mereka pergi ke pansapuri milik Self selepas mengadakan pertemuan di sebuah kelab gay di bandar Midwestern, Cincinnati.

“Saya minta maaf kerana mengambil abang kamu. Saya tidak baik,” kata Van Hook kepada keluarga Self yang berada di penjara Ohio, Lucasville untuk menyaksikan hukuman bunuh itu.

“Saya harap kamu dapat sedikit ketenangan,” katanya.

Media Amerika Syarikat (AS) melaporkan lelaki berusia 58 tahun itu menangis ketika membuat kenyataan terakhirnya.

Van Hook disahkan meninggal dunia pada 10.44 pagi waktu tempatan, menjadikan dia banduan kedua menjalani hukuman bunuh di negara itu. Pada lewat petang Selasa lalu, Texas menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Christopher Young, 34.

Antara hujah yang dikemukakan peguam Van Hook adalah pertahanan ‘panik homoseksual’ dakwaan terhadap penolakan kehendak seksual mangsa sebagai sebahagian penjelasan kepada tindakan ganas.

Persatuan Bar Amerika mengutuk hujah perundangan sedemikian dan negeri Illinois serta California mengharamkan hujah sedemikian daripada mahkamah mereka.

Van Hook mencekik Self di dalam pangsapurinya dan menikamnya beberapa kali menggunakan pisau. Polis yakin dia berusaha memenggal kepala mangsa berusia 25 tahun itu. Dia juga dikatakan memotong perut dan menikam organ dalaman mangsa.

Peguam Van Hook mendakwa dia mengalami masalah kesihatan mental dan ketagihan dadah serta pernah menjadi mangsa penderaan. Dia menyesali jenayah yang pernah dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:07 AM