SEBAHAGIAN daripada buaya yang dibakar pihak berkuasa Indonesia. -Foto REUTERS
Reuters

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia membakar 300 bangkai buaya yang disembelih penduduk kampung kerana membalas dendam susulan kematian seorang lelaki yang diserang reptilia itu dari sebuah ladang pembiakan, kata seorang pegawai kerajaan, hari ini.

Selepas pengebumian mangsa, kumpulan penduduk yang marah bersenjatakan pisau, menyerang kawasan ladang dan menyembelih 292 reptilia yang dilindungi.

“Buaya yang mati dibakar dan ditanam berhampiran kawasan ladang,” kata pegawai pemuliharaan di wilayah Papua Barat, Basar Manullang menerusi pesanan teks.

Gambar menunjukkan semua buaya diletakkan di dalam sebuah lubang besar bersama kayu sebelum api dinyalakan.

Mangsa berusia 48 tahun memasuki kawasan ladang buaya di daerah Sorong dan dipercayai sedang mengumpul rumput untuk makanan haiwan ketika dia diserang.

Manullang berkata ladang itu mendapat lesen untuk membiak buaya air masin yang dilindungi dan buaya New Guinea pada 2013 untuk tujuan pemuliharaan dan pembiakan beberapa haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 5:00 PM