MUNNA
Agensi

New Delhi: Seorang ketua samseng mati ditembak dengan tujuh das tembakan dalam penjara oleh banduan lain dipercayai anggota geng musuh, hanya beberapa jam sebelum dibawa ke mahkamah untuk kes peras ugut terhadapnya.

Prem Prakash Singh yang juga digelar Munna Bajrangi ditembak banduan dikenali sebagai Sunil Rathi, dengan satu peluru terkena kepalanya menyebabkan bahagian kanan berkecai.

NDTV memetik Superintendan Polis, Jai Prakash berkata: “Sepucuk pistol bersama dua kelongsong dan 22 kartrij ditemui di dalam longkang di penjara itu.

“Munna bertengkar mengenai pembunuhan kontrak dengan Sunil yang kemudian membunuhnya.”

Dia belum dapat mengesahkan bagaimana senjata itu dibawa masuk ke penjara. Bagaimanapun, Hindustan Times melaporkan ia mungkin diseludup melalui pek makanan dikirimkan kepada Rathi yang menjalani penjara seumur hidup dan diberi kelonggaran menerima bekalan dari luar tanpa memerlukan izin mahkamah.

Ketua Pengarah Penjara Chandra Prakash berkata, empat pegawai penjara digantung tugas berhubung kejadian itu.

Munna dipindahkan ke penjara itu pada Ahad lalu untuk dihadapkan ke mahkamah atas kes peras ugut, keesokannya. Dia ditembak mati pada waktu pagi sebelum sempat dibawa untuk kesnya.

Kejadian berlaku seminggu selepas isterinya, Seema Singh menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan suaminya dalam satu sidang media yang diadakan di Uttar Pradesh sambil menuduh Pasukan Unit Khas (STF) merancang konspirasi untuk membunuh Munna.

Sementara itu, peguam Munna mengecam tindakan pihak berkuasa yang memindahkan anak guamnya ke penjara berkenaan biarpun sudah beberapa kali meminta supaya perbicaraan mahkamah dilakukan menerusi sidang video atas faktor keselamatan.

“Kebanyakan banduan yang ditahan di situ penyokong Rathi. Kakitangan penjara pula amat takut dengannya,” katanya.

Sementara itu, menurut Hindustan Times, seorang polis yang enggan dikenali mendakwa Rathi amat dihormati dalam penjara.

“Banyak laporan mengatakan dia membuat panggilan memeras ugut wang dari dalam penjara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 2:32 PM