GAMBAR hisan

NEW DELHI: India sedang berusaha menguatkuasakan pengharaman penuh terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pornografi kanak-kanak dengan meminda undang-undang penderaan seks kanak-kanak.

Ini termasuk menjadikan satu kesalahan kepada sesiapa yang memiliki pornografi kanak-kanak, berbeza dengan peruntukan sekarang yang hanya menyasarkan pengeluar filem itu, pihak yang mengedarkan atau menjualnya.

Perubahan ini adalah sebahagian daripada pindaan kepada undang-undang melindungi kanak-kanak daripada melakukan jenayah seks 2012 dan kesalahan boleh membawa hukuman penjara lima tahun, lapor sumber kepada portal berita NDTV.

Pindaan berkenaan menjadikan hukuman bagi kesalahan merogol sejajar dengan fasal dalam kanun keseksaan yang menyaksikan pindaan awal tahun ini termasuk mengenakan hukuman mati dan penjara lebih lama kepada perogol kanak-kanak.

Ia juga menjadikan satu kesalahan jenayah kepada mana-mana pihak yang memberi bahan kimia atau homon kepada kanak-kanak bertujuan membantu mereka lebih cepat baligh.

Malah, petugas di rumah perlindungan yang menerima suapan untuk membenarkan seseorang kanak-kanak dicabul juga menghadapi hukuman penjara minimum 20 tahun.

Pindaan itu disokong menteri dan dijangka dibentang minggu depan untuk kelulusan Parlimen.

Wujud percanggahan pendapat sama ada bahan lucah kanak-kanak wajar diharamkan sama sekali sebelum ini.

Tahun lalu, kerajaan memberitahu mahkamah bahawa ia telah menyekat beribu-ribu laman web kanak-kanak.

Kerajaan sudah menjadikan satu kesalahan jenayah bagi mana-mana pihak yang menerbit, menyiar dan memuat turun bahan lucah kanak-kanak mengikut Akta Teknologi Maklumat 2008 selepas mengetepikan desakan aktivis hak kanak-kanak bertahun-tahun lamanya.

Pegawai juga berkata, akta berkenaan tidak menyeluruh. Jadi, pindaan baharu boleh membantu pihak berkuasa turut mengambil tindakan ke atas golongan pedofil.

Jika mengambil kira keseluruhan pindaan, ia akan mengharamkan semua bentuk pemilikan bahan lucah kanak-kanak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:18 PM