Hujan lebat memusnahkan bandar Saka, Hiroshima di barat Jepun. FOTO EPA-EFE
Reuters

TOKYO: Empat puluh empat maut dan empat dalam keadaan kritikal manakala sekurang-kurangnya 50 lagi masih hilang susulan hujan lebat yang melanda barat dan tengah Jepun, lapor stesen penyiar NHK, hari ini.

Sementara 1.6 juta penduduk lagi dipindahkan dari kediaman masing-masing.

Agensi Kaji Cuaca Jepun mengekalkan amaran khas cuaca bagi tiga negeri di pulau Honshu, menurun daripada lima, dan menggesa penduduk berwaspada terhadap tanah runtuh, peningkatan paras sungai dan angin kencang di tengah apa yang digelarnya hujan ‘bersejarah’.

Di Motoyama, bandar di pulau Shikoku, kira-kira 600 kilometer dari Tokyo, 583 milimeter hujan turun antara semalam dan pagi hari ini, kata agensi itu.

Walaupun cuaca semakin baik antara barat dan timur Jepun, masih ada risiko hujan lebat berterusan apabila udara panas bertiup ke permukaan, tambahnya, dengan kawasan terjejas dijangka menerima lebih banyak hujan esok.

Antara yang terbunuh ialah lelaki yang jatuh dari jambatan ke dalam sungai di bandar raya Hiroshima, dan lelaki berusia 77 tahun di Takashima, 56 kilometer ke timur Kyoto, yang dihanyutkan ke dalam terusan ketika beliau cuba membersihkan sampah.

Empat penduduk di Ehime, Hiroshima dan Yamaguchi berada dalam keadaan kritikal selepas cedera dalam kejadian tanah runtuh.

Menjelang pagi ini, lebih 1.6 juta diarahkan berpindah kerana bimbang banjir dan tanah runtuh, dengan 31. juta lagi dinasihatkan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 10:00 PM