KEADAAN di atas dek KM Lestari Maju yang senget dibadai ombak sebelum tenggelam. - Antara via Reuters
Agensi

Jakarta: Kira-kira 30 bilion rupiah (RM846,044) milik Bank Sulselbar bertebaran dalam laut ketika feri KM Lestari Maju karam di Sulawesi, Indonesia kelmarin, menyebabkan 34 penumpang terbunuh.

Wang terbabit yang berada di dalam kenderaan di atas feri berkenaan untuk pembayaran gaji kakitangan awam kerajaan di Selayar.

Sejak kelmarin, tersebar video wang kertas bertaburan di dalam laut berhampiran feri berkenaan yang terkandas pada beting pasir sebelum karam selepas dimasuki air berhampiran Pulau Selayar.

Menurut laporan Tribun News, Pengerusi Bank Sulselbar, Irmayanti Sultan, berkata, pihaknya tidak bimbang dengan kehilangan wang terbabit kerana ia sudah diinsuranskan.

“Jumlah keseluruhan wang yang tenggelam sekitar 30 bilion rupiah yang bakal digunakan bagi membayar gaji kakitangan awam di Selayar.

“Bagaimanapun, wang terbabit sudah kami insuranskan,” katanya


PETIKAN rakaman video amatur wang kertas bertaburan di sekitar kawasan feri KM Lestari Maju karam. - Agensi

Sementara itu, Kompas melaporkan pihak berkuasa mendapati ramai penumpang tidak didaftarkan dalam senarai penumpang feri berkenaan.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basrnas) Makassar, Hamsidar, berkata berdasarkan rekod, penumpang feri itu ialah 164 orang, namun mereka yang diselamatkan pasukannya melebihi jumlah itu.

“Setakat ini, 34 orang disahkan terkorban dan jika berdasarkan senarai rasmi penumpang, bermakna 130 terselamat.

“Bagaimanapun, pasukan kami menyelamatkan lebih 130 orang dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan angka semasa, bermakna KM Lestari Maju yang terkandas sebelum tenggelam itu membawa sehingga 190 penumpang.

Feri berkenaan dalam perjalanan dari Pelabuhan Bira di Sulawesi dan dimasuki air serta dibadai ombak dan angin kencang ketika sudah hampir dengan Pelabuhan Pamatata, di Selayar.

Selain ratusan penumpang, feri itu membawa 14 kenderaan peribadi, enam bas atau lori dan lapan motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 9:45 AM