RAKAMAN imej mangsa yang terperangkap dalam feri KM Sinar Bangun di Danau Toba. - Foto ihsan Tribun News
Reuters

Jakarta: Dron digunakan dalam misi pencarian tragedi feri yang karam di Danau Toba hampir dua minggu lalu, merakam mayat manusia dan motosikal.

Feri kayu, KM Sinar Bangun, sepanjang 17 meter itu karam ketika ribut di Danau Toba sedalam 450 meter.

Setakat ini, tiga disahkan maut, manakala hampir 200 penumpang hilang, dipercayai masih terperangkap di dalam feri berkenaan.

Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), rakaman video kenderaan bawah air kawalan jauh (ROV) pada kedalaman 450 meter itu memaparkan rangka manusia, motosikal dan tali feri berkenaan.

Ketua BASARNAS, Muhammad Syaugi berkata, misi seterusnya ialah mencari cara mengangkat dan mengeluarkan mayat terbabit.

Seramai 18 orang, termasuk kapten feri berjaya menyelamatkan diri dalam tragedi itu yang dipercayai membawa lima kali ganda penumpang berbanding muatan dibenarkan selain puluhan motosikal.

Danau Toba yang seluas 1,145 kilometer persegi, terbentuk hasil letupan gunung berapi sekitar 75,000 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:30 AM