SEORANG anggota tentera laut menunjukkan paras air di dalam gua ketika operasi menyelamatkan 13 mangsa yang terperangkap di Chiang Rai, Thailand. - EPA
Agensi

Chiang Rai: Penyelam dari tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain tiba di Thailand bagi membantu usaha mencari 12 pemain bola sepak remaja dan jurulatih mereka yang dipercayai terperangkap dalam banjir di sebuah gua, dekat sini.

Ketika ini pasukan penyelamat bersiap sedia untuk menggerudi satu lubang ke dalam gua pada hari kelima misi pencarian.

Komander Daerah Ketenteraan ke-37 di Chiang Rai, Mejar Buncha Duriyapan, berkata, usaha menggerudi lubang dari atas ke dalam gua Tham Luang bertujuan mewujudkan pintu masuk alternatif untuk pasukan keselamatan.

“Kami akan menggerudi bawah dari salah satu serombong gua itu.

“Pakar penyelam akan dihantar terus dengan pesawat khas menuju ke gua untuk melakukan penilaian,” kata Buncha kepada wartawan ketika merujuk mengenai penyelam Britain yang tiba di Thailand, semalam.

Semua remaja berkenaan yang berusia 11 hingga 16 tahun berkenaan masuk ke gua itu yang juga lokasi pelancongan utama di Chiang Rai pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, hujan lebat turun ketika mereka berada di dalam gua itu yang menyebabkan banjir hingga menutup pintu masuk utama.

Seramai 1,000 pasukan penyelamat termasuk tentera laut, askar, polis, pengawal sempadan dan bomba terbabit dalam usaha menyelamat yang berlangsung tanpa henti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 1:43 AM