SEBAHAGIAN anggota polis dari pasukan polis Ocampo yang ditahan susulan pembunuhan seorang calon datuk bandar pada minggu lalu. - Agensi
AFP

Mexico City: Seluruh pasukan polis di bandar Ocampo di Mexico, ditahan bagi membolehkan satu siasatan dalaman diadakan selepas seorang calon datuk bandar yang bertanding dalam pilihan raya dibunuh pada minggu lalu.

“Kesemua mereka disiasat mengikut peruntukan undang-undang bagi mengenal pasti sama ada terbabit dalam sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang,” kata sekretariat keselamatan di negeri Michoacan, lokasi bandar Ocampo yang didiami kira-kira 20,000 penduduk.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberitahu berapa ramai anggota polis yang ditahan.

Calon datuk bandar, Fernando Angeles ditembak mati, pada Khamis lalu, ketika bersiap sedia untuk menghadiri kempen.

Pada Rabu, seorang lagi mangsa, Omar Gomez, calon bebas bagi bandar Aguililla, juga di Michoacan turut ditembak mati.

Sebelum itu, pada 14 Jun, calon datuk bandar Taretan di negeri sama, juga mati dibunuh.

Sejak kempen bermula menjelang pilihan raya pada 1 Julai ini, lebih 100 ahli politik dan calon kebanyakannya penduduk tempatan mati akibat dibunuh.

Malah, lebih 200,000 penduduk dilaporkan maut, manakala 30,000 lagi hilang sejak kerajaan mengarahkan pasukan keselamatan persekutuan membanteras penyeludupan dadah pada 2006.

Tahun 2017 menjadi tahun paling ganas dalam tempoh dua dekad di Mexico apabila sebanyak 25,339 kes pembunuhan direkodkan yang dikaitkan dengan jenayah terancang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 1:55 AM