PENERBIT filem Bollywood, Boney Kapoor (kanan) mewakili mendiang isterinya, Sridevi Kapoor yang menerima penghormatan sebagai pelakon wanita terbaik dalam majlis anugerah tahunan Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA). Foto AFP
AFP

BINTANG Bollywood, Sridevi Kapoor diberi penghormatan sebagai pelakon wanita terbaik dalam majlis anugerah tahunan Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) yang berlangsung di Bangkok Thailand, semalam.

Anugerah diberikan beberapa bulan selepas Sridevi ditemui mati dalam bilik air di sebuah hotel di Dubai, selepas menghadiri majlis perkahwinan di bandar raya itu.

Menerima penghormatan sebagai pelakon lelaki terbaik ialah aktor Irrfan Khan yang terkenal dengan peranannya dalam filem pecah panggung, ‘Life of Pi’ dan ‘Slumdog Millionaire.

Namun, Irrfan tidak menghadiri majlis gilang gemilang yang dianggap sebagai majlis anugerah Oscar Bollywood itu selepas mengumumkan bahawa beliau mengidap sejenis ketumbuhan yang amat jarang berlaku awal bulan ini.

Aktor berusia 51 tahun itu yang turut tampil dalam filem ‘Inferno’ yang ditayangkan pada 2016 bersama aktor terkenal Amerika Syarikat, Tom Hanks adalah antara pelakon Bollywood yang sering mendapat perhatian penerbit dan pengarah filem di Hollywood.

Beliau menerima anugerah itu berdasarkan hasil lakonannya dalam filem ‘Hindi Medium’, yang memaparkan kisah masalah kasta dalam masyarakat di India.

Dalam filem itu, Irrfan memegang watak sebagai seorang bapa yang berusaha memasukkan anak perempuannya dalam sebuah sekolah terkemuka di negara itu.

Sementara itu, Sridevi, 54, yang meninggal dunia pada Februari lalu menerima anugerah itu berdasarkan watak dalam filem terakhir lakonannya bertajuk ‘Mom’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:06 PM