PENYAMAN udara dikuatkan ke tahap maksimum sehingga kabin dipenuhi dengan kabus.
Agensi

KAPTEN pesawat tambang murah AirAsia India didakwa sengaja menguatkan penyaman udara untuk menghalau keluar penumpang yang enggan turun daripada kapal terbang berkenaan.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika pesawat milik syarikat tambang murah berkenaan bersedia untuk berlepas dari lapangan terbang Kolkata menuju ke Bagdogra, India baru-baru ini.

Seorang penumpang, Dipankar Ray berkata, beberapa penumpang bertengkar dengan kru pesawat mengarahkan mereka keluar selepas penerbangan itu tergendala selama beberapa jam.

“Penerbangan ini dijadualkan berlepas pada 9 pagi dan ia sudahpun tergendala selama 30 minit. Selepas menaiki pesawat kami menunggu selama satu jam setengah tanpa diberikan makanan atau air,” katanya kepada agensi berita PTI.

Ujarnya, kapten pesawat kemudiannya mengarahkan semua penumpang keluar tanpa memberikan sebarang penjelasan.

“Apabila penumpang enggan keluar kerana hujan lebat di luar, kapten pesawat menguatkan penyaman udara hingga tahap maksimum untuk menghalau kami keluar.

“Tindakan itu menyebabkan kabin dipenuhi dengan kabus dan ia sangat melemaskan,” jelasnya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai wanita muntah dan kanak-kanak menangis ketakutan.

Ray turut memuat naik video dalam laman Facebook miliknya menunjukkan keadaan kabin pesawat yang dipenuhi kabus.

Sementara itu, AirAsia India dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan akibat kelewatan penerbangan itu dan memberitahu kabus yang terbentuk itu adalah akibat keadaan lembap kerana hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 10:04 PM