PENDATANG dari El Salvador Epigmenio Centeno memilih tinggal di Mexico bersama dua anaknya yang kecil untuk mengelak dipisahkan. - Reuters
RACHEL tidak dapat menahan sebak. - Daily Mail
Daily Mail

Washington: Seorang pembaca berita gagal menahan sebak dan menangis ketika melaporkan berita mengenai pusat penahanan bagi pendatang kanak-kanak serta bayi yang diasingkan secara paksa daripada ibu bapa mereka.

Hos rangkaian televisyen MSNBC, Rachel Maddow mengakhiri berita pada malam Rabu dengan laporan Associated Press bahawa kanak-kanak ditahan di tiga kemudahan di Texas, namun gagal menahan emosi apabila cuba membaca huraian keadaan lokasi terbabit menyebabkannya memutuskan menamatkan rancangan berkenaan secara mengejut, hanya beberapa minit sebelum dijadualkan selesai.

“Ini terlalu mengejutkan. Saya terpaksa berhenti di sini, saya minta maaf,” katanya seterusnya menyerahkan kepada hos rancangan seterusnya Lawrence O’Donnell.

Rachel kemudian meminta maaf di Twitter dan mengongsikan skrip yang sepatutnya dibacakan ketika rancangan berkenaan.

“Sepatutnya menjadi tugasan saya untuk membacakan apa saja ketika bersiaran langsung. Malangnya apabila diserahkan skrip ini saya tidak mampu meneruskannya. Saya minta maaf kerana tidak dapat mengawal emosi ketika itu,” katanya.

Laporan AP itu mendakwa pegawai daripada pentadbiran Trump menghantar kanak-kanak dan bayi yang dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa mereka di sempadan Amerika Syarikat (AS) - Mexico ke sekurang-kurangnya tiga pusat penahanan khas di Texas Selatan.

Peguam dan anggota perubatan yang melawat kemudahan di Rio Grande Valley itu menceritakan mengenai bilik permainan dipenuhi kanak-kanak kecil menangis dan dalam keadaan trauma walaupun pusat penahanan berkenaan berkenaan bersih dan selamat diduduki.

Kerajaan turut dikhabarkan merancang membuka pusat perlindungan keempat untuk ratusan pendatang kanak-kanak kecil di Houston.

Isu itu mendapat kecaman hebat termasuk oleh pemimpin negara lain terutama selepas gambar kanak-kanak dalam kurungan yang kelihatan seperti ‘sangkar’ tersebar.

Presiden AS Donald Trump dikritik termasuk oleh kumpulan hak asasi malah beberapa bekas wanita pertama negara itu, susulan polisi ‘tolerasi sifar’ terhadap pendatang yang melihat ribuan keluarga dipisahkan di sempadan negara itu.

Pihak berkuasa berkata, lebih 2,300 kanak-kanak dipisahkan daripada ibu bapa atau penjaga mereka sejak awal Mei selepas pentadbiran Trump mengumumkan akan menahan dan mendakwa sesiapa yang memasuki sempadan AS-Mexico secara haram, termasuk mereka yang mahu memohon suaka.

Kanak-kanak dipisahkan kerana tidak boleh dihantar ke kemudahan tempat ibu bapa mereka ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 9:29 AM