EMPAT eksekutif syarikat bekalan air membuat permohonan maaf di televisyen selepas seorang pekerja meninggalkan pejabat untuk beli makanan tengah hari. - Agensi

Tokyo: Eksekutif sebuah syarikat bekalan air di Jepun membuat permohonan maaf kepada pelanggan di televisyen dan memotong gaji seorang pekerjanya yang didapati meninggalkan pejabat untuk membeli makanan ketika waktu rehat tengah hari.

Pekerja berusia 64 tahun di Biro Perkhidmatan Air Kobe itu didapati meninggalkan mejanya selama 72 minit dalam tempoh tujuh bulan untuk membeli makanan.

Bagaimanapun, syarikat itu memandang serius kejadian itu dan menganggap pekerja berkenaan membuang masa syarikat untuk membeli makanan.

Perjalanan ke kedai makan berhampiran pejabat lelaki itu hanya mengambil masa selama tiga minit dan ia berlaku 26 kali antara September 2017 hingga Mac 2018.

Tindakan lelaki itu terbongkar selepas seorang pegawai melihat keluar tingkap dan ternampak dia melintas jalan untuk ke kedai berkenaan untuk membeli makanan.

Dalam satu siaran televisyen, eksekutif syarikat itu menundukkan kepala sebagai tanda memohon maaf kepada pelanggan dan memberitahu gaji untuk separuh hari pekerja berkenaan dipotong sebagai hukuman.

Namun, tidak lama selepas permohonan maaf itu dibuat, pengguna media sosial di Jepun mengecam tindakan berkenaan yang dianggap sebagai melampau.

“Adakah pekerja kini tidak dibenarkan lagi untuk ke tandas pula? Ini tempat bekerja atau satu bentuk penghambaan,” kata seorang pengguna Twitter.

“Ini sangat mengarut. Mengaturkan permohonan maaf di media membuang lebih banyak masa berbanding tiga minit yang diambil pekerja itu untuk membeli makanan,” tambah seorang lagi pengguna.

Kes itu mencetuskan kembali perdebatan mengenai budaya kerja di Jepun di mana pekerja biasanya bekerja untuk tempoh masa yang panjang dan jarang mengambil cuti termasuk cuti sakit. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 9:28 AM