LETUPAN di Gaza selepas serangan udara tentera Israel pada 18 Jun 2018. FOTO AFP
AFP

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran bahawa Gaza di ambang perang dan menyuarakan perasaan terkejut selepas ramai penduduk Palestin terkorban atau cedera akibat tembakan Israel ketika tunjuk perasaan.

Antonio Guterres memaklumkan Majlis Keselamatan bahawa beliau mengutuk tindakan semua pihak yang membawa kepada keadaan berbahaya dan rapuh dalam konflik Israel-Palestin.

Laporan itu dihantar ke majlis itu minggu lalu, sebelum mesyuarat berhubung krisis itu semalam. Keganasan di Gaza adalah lonjakan keganasan paling serius sejak perang Israel dan Hamas pada 2014.

“Ia patut menjadi amaran bahawa situasi semasa amat hampir kepada perang. Saya terkejut dengan jumlah kematian dan kecederaan penduduk Palestin akibat tembakan tentera Israel,” kata Guterres, sejak tunjuk perasaan bermula 30 Mac lalu.

Sekurang-kurangnya 132 penduduk Palestin terbunuh.


REAKSI ahli keluarga warga Palestin yang maut di sempadan Israel-Gaza pada 18 Jun 2018. FOTO Reuters MOHAMMED SALEM

Pertubuhan Palang Merah berkata, lebih 13,000 mangsa cedera termasuk 1,400 orang yang terkena banyak tembakan kebanyakannya di bahagian kaki.

Israel bertanggungjawab mengelak keganasan paling maksimum dan melindungi nyawa penduduk awam sejajar dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menurut kenyataan ketua PBB itu.

“Pembunuh kanak-kanak, wartawan dan kakitangan perubatan oleh pasukan keselamatan ketika tunjuk perasaan langsung tidak boleh diterima,” katanya.

Dua wartawan Palestin terbunuh ketika melakukan liputan terhadap tunjuk perasaan itu pada April lalu, sementara pembantu berusia 21 tahun ditembak mati pada awal Jun lalu.

Guterres mengulangi gesaan beliau untuk siasatan bebas terhadap kematian akibat tembakan di Gaza. Israel menolak gesaan itu dan berhujah penggunaan kekerasan adalah munasabah untuk mempertahankan sempadannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 10:00 PM