MANGSA bot karam di Makasar dibawa ke hospital berdekatan. -Foto EPA
Reuters

SEKURANG-kurangnya 15 maut apabila dua bot karam di perairan Indonesia, kata pihak berkuasa, dan pekerja penyelamat berusaha mencari puluhan lagi yang masih hilang.

Kemalangan feri adalah perkara biasa di Indonesia, terutama ketika Aidilfitri apabila jutaan rakyat negara itu balik ke kampung masing-masing menerusi jalan darat, laut dan udara.

Bot panjang membawa kira-kira 43 penumpang karam di Makasar di kepulauan Sulawesi menyebabkan 13 maut dan bot laju membawa 30 penumpang karam di Sumatera Selatan, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang.

Pihak berkuasa termasuk agensi mencari dan menyelamat Indonesia, polis dan tentera menghantar bot laju dan puluhan kakitangan untuk mencari mangsa terselamat.

“Kami masih belum ada maklumat berapa yang selamat kerana usaha mencari masih berterusan,” kata jurucakap pejabat mencari dan menyelamat Palembang, Toto Mulyono.

Sementara jurucakap agensi mencari dan menyelamat di Makassar berkata, 22 berjaya diselamatkan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 11:13 PM