Polis berada di luar apartmen lelaki yang menahan empat kanak-kanak, termasuk dua anaknya sebagai tebusan di Orlando, Florida. FOTO AP
AFP

Washington: Empat kanak-kanak berusia antara setahun hingga 11 tahun mati ditembak lelaki yang menahan mereka sebagai tebusan di Orlando, Florida, sebelum lelaki terbabit membunuh dirinya, semalam.

Dua daripada kanak-kanak terbabit ialah anak lelaki itu, dikenali sebagai Gary Wayne Lindsey, 35, manakala dua lagi anak teman wanitanya.

Lindsey ialah penjenayah yang sudah disabitkan kesalahan kerana perbuatan khianat dan jenayah lain, termasuk keganasan rumah tangga. Namun, hukuman penjaranya ditangguhkan dan dia diletakkan di bawah pemerhatian.

Ketua Polis Orlando, John Mina berkata, kejadian bermula kelmarin, apabila polis menerima laporan daripada teman wanita lelaki itu Lindsey menyerangnya.

Dua anggota polis cuba menahan Lindsey dan berlaku tembak menembak menyebabkan seorang polis parah.

Lindsey kemudian mengurung dirinya bersama empat kanak-kanak itu sebagai tebusan dalam apartmen berdekatan taman tema Universal Orlando.


GARY Wayne Lindsey. FOTO Orlando Police

Menurut Mina, polis berusaha berunding dengan lelaki itu supaya membebaskan kanak-kanak terbabit.

Ketika rundingan, telefon penculik itu menghadapi masalah dan polis menawarkan telefon gantian.

Ketika menyerahkan telefon, polis melihat mayat seorang daripada kanak-kanak terbabit lalu membuat keputusan menyerbu masuk dalam usaha menyelamatkan tebusan.

Bunyi kuat kedengaran dari apartmen berkenaan kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, dipercayai lelaki itu menembak mangsa serta dirinya ketika serbuan polis.

Polis kemudian memasuki apartmen berkenaan semalam, dan mendapati empat kanak-kanak terbabit dibunuh suspek.

“Suspek juga membunuh diri dengan menembak dirinya,” kata Mina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 8:51 AM