ANGGOTA tentera mengawal ketat keadaan di Kabul selepas insiden pengebom nekad berani mati. FOTO/AFP
Reuters

KABUL: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh hari ini selepas seorang pengebom nekad meletupkan dirinya berhampiran sekumpulan ulama ketika sedang meninggalkan sebuah khemah gergasi di Kabul.

Kejadian berlaku selepas kumpulan ulama itu selesai menghadiri pertemuan untuk mengutuk keganasan dan menyeru ke arah keamanan, kata pegawai keselamatan.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, sekali gus mencerminkan keadaan keselamatan yang semakin meruncing menjelang pilihan raya Parlimen dan daerah yang ditetapkan pada 20 Oktober.

Beberapa bulan lalu, satu siri pengeboman di Kabul membunuh berpuluh-puluh orang, tanpa menunjukkan sebarang tanda akan reda sepanjang bulan Ramadan ini.

Kumpulan militan Daesh mendakwa melancarkan banyak serangan di Kabul tetapi pegawai keselamatan berkata kemungkinan besar sebahagian besarnya adalah perbuatan rangkaian Haqqani, sebuah kumpulan yang bersekutu dengan Taliban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 6:04 AM