Ibu Razan memeluk jaket anaknya yang berlumuran darah dan petikan video anggota pasukan perubatan berusaha menyelamatkan Razan selepas ditembak tentera Israel. FOTO Al-Jazeera
Agensi

Gaza: Andaikan bedilan roket Hamas membunuh jururawat muda Israel yang sedang merawat mangsa cedera akibat serangan sebelum itu, sudah pasti media seluruh dunia membuat liputan besar-besaran kematiannya, lengkap dengan gambar serta temuramah dengan rakan serta keluarga.


Pasukan perubatan mengangkat tangan ketika menghampiri sempadan. FOTO Haaretz.com

Namun, apabila penembak hendap Israel membunuh sukarelawan perubatan Palestin, Razan Al-Najjar, yang baru berusia 21 tahun Ahad lalu, beritanya tidak mendapat perhatian media utama antarabangsa, apatah lagi media Amerika Syarikat.

Hanya berita kecil muncul dalam New York Times dan Washington Post, tiada langsung dalam Guardian malah BBC.

Al Jazeera melaporkan, di lokasi tunjuk perasaan di Khuza, dekat Khan Younis, saksi melihat Razan dan rakan-rakan sukarelawan yang memakai jaket putih perubatan menghampiri pagar sempadan dengan mengangkat tangan ke arah tentera Israel yang berada kira-kira 100 meter, menunjukkan mereka bukan mengancam.

Rida Najjar, 29, yang juga sukarelawan perubatan berkata, dia berada di sebelah Razan ketika wanita itu ditembak.

“Ketika kami menghampiri pagar untuk mengambil mangsa yang cedera, tentera Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata.

“Selepas itu penembak tepat melepaskan satu tembakan yang tepat mengenai Razan. Serpihan peluru mencederakan tiga lagi anggota pasukan kami.

“Razan pada mulanya tidak sedar terkena tembakan sebelum dia mula menjerit kuat, ‘Belakang saya, belakang saya!’ dan rebah ke tanah.

“Pakaian seragam, jaket dan beg perubatan jelas memberitahu siapa kami. Tiada penunjuk perasaan lain berdekatan, hanya kami,” katanya.

Razan ditembak kira-kira 100 meter dari pagar sempadan Gaza - Israel ketika memberi rawatan kecemasan kepada seorang penunjuk perasaan.

Rakaman video disiarkan Haaretz, mengesahkan beliau serta sukarelawan lain memakai jaket putih perubatan dan mengangkat tangan ketika menghampiri mangsa bagi memberi rawatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr Ashraf al-Qedra, berkata lebih 100 cedera akibat tembakan serta gas pemedih mata tentera Israel, termasuk 40 mangsa ditembak dengan peluru hidup.

Razan terbunuh selepas peluru penembak tepat mengenai belakang dan tembus mengenai jantungnya.

Media Palestin yang menyiarkan gambar ibunya memegang jaket putih Razan yang berlumuran darah menggelar wanita itu sebagai ‘Syahid Yang Disayangi’.

Razan adalah mangsa ke-123 ditembak tentera Israel dan sukarelawan perubatan kedua terbunuh sejak perhimpunan besar-besaran penduduk Palestin di Gaza mulai 30 Mac lalu.

Mousa Jaber Abu Hassanein, 36, yang juga memakai jaket putih perubatan mati ditembak pada 14 Mei lalu.

Selain itu, 223 sukarelawan perubatan cedera, termasuk 29 ditembak dengan peluru hidup atau sengaja disasar dengan tembakan gas pemedih mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:59 PM