SEORANG lelaki menyiram air ke arah orang awam di Karachi. - EPA
Reuters

Islamabad: Fenomena gelombang panas mengorbankan 65 orang di bandar selatan Pakistan di Karachi sejak tiga hari lalu, kata pertubuhan kebajikan sosial semalam, dengan angka kematian dibimbangi meningkat akibat suhu tinggi berterusan.

Gelombang panas itu kebetulan berlaku ketika kuasa elektrik terjejas, selain Ramadan. Suhu mencecah 44 darjah Celsius pada Isnin, lapor media tempatan.

Pengasas Edhi Foundation, Faisal Edhi yang mengendalikan rumah mayat dan perkhidmatan ambulans di bandar terbesar Pakistan itu berkata, kematian berlaku di kawasan miskin di Karachi.

“Seramai 65 orang maut sejak tiga hari lalu. Kami menyimpan mayat di kemudahan simpanan sejuk dan doktor di kawasan kejiranan berkata, mangsa maut akibat strok haba,” katanya kepada Reuters.

Setiausaha Kesihatan wilayah Sindh, Fazlullah Pechuho bagaimanapun memaklumkan akhbar bahasa Inggeris, Dawn, tiada seorang pun mati akibat strok haba.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 2:26 AM