Reuters

Istanbul: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi bayangan mempertimbangkan larangan import terhadap sebahagian produk Israel sebagai tindak balas susulan pembunuhan penduduk Palestin di sempadan Gaza.

Recep yang berkempen untuk dipilih semula sebagai presiden dalam pilihan raya Jun depan, pada minggu lalu menjadi tuan rumah kepada pemimpin Islam yang mengecam insiden di Gaza dan pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmuqadis.

Keganasan di Gaza yang menyebabkan lebih 60 penduduk Palestin dibunuh pada 14 Mei lalu mencetuskan hubungan Turki dengan Israel tegang apabila kedua-dua negara memanggil balik duta masing-masing.

Bercakap kepada wartawan selepas pulang dari Bosnia kelmarin, Recep berkata, 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mencadangkan mengenakan boikot terhadap produk Israel.

“Saya berharap negara anggota OIC melaksanakan keputusan boikot sejajar dengan cadangan berkenaan. Ini bermakna tiada produk yang patut dibeli dari Israel lagi.

“Kami juga akan menilai situasi itu dengan cara yang sama,” katanya yang dipetik akhbar Hurriyet.


SEORANG remaja Palestin membaling batu ketika bertempur dengan tentera Israel di sempadan Gaza pada Jumaat lalu. - EPA

Deklarasi OIC pada Jumaat lalu, mendesak semua negara mengenakan larangan terhadap produk dari penempatan haram Israel memasuki pasaran mereka.

Larangan itu merujuk kepada produk yang dihasilkan di wilayah yang ditawan Israel di Tebing Barat dan Bukit Golan.

Deklarasi itu juga mendesak sekatan ekonomi terhadap negara, pegawai, parlimen, syarikat atau individu yang mengikut langkah AS yang memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqadis.

Tindakan Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqadis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaannya ke sana bertentangan dengan dasar AS sejak berpuluh tahun, mengecewakan dunia Arab dan sekutu Barat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 2:02 AM