PUTERA Harry (kiri) dan Meghan keluar daripada Gereja St George, Istana Windsor selepas tamat upacara. -Foto EPA
AFP/Reuters

JUTAAN peminat diraja seluruh dunia menjadi saksi penyatuan antara pewaris keenam takhta Britain, Putera Harry,33, dan aktres, Meghan Markle, 36, di Gereja St George, Istana Windsor di sini, semalam.

Beberapa jam sebelum itu, Harry dan Meghan dianugerahkan gelaran Duke dan Duchess of Sussex oleh nendanya, Ratu Elizabeth II, selain gelaran Earl of Dumbarton dan Baron Kilkeel.

Majlis perkahwinan diraja yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh emosi itu turut disaksikan lebih 100,000 orang ramai yang sudah berkumpul di sepanjang jalan menuju ke Istana Windsor sejak kelmarin.

Selain keluarga diraja yang diketuai Ratu Elizabeth II, majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Putera Philip, Putera Charles dan isteri, Camilla, Duchess of Cornwall; ahli keluarga diraja lain, aktor George Clooney, Idris Elba, Tom Hardy; penyanyi Elton John; bintang bolasepak, David Beckham; Oprah Winfrey dan bintang tenis, Serena William.

Yang turut hadir, ibu Meghan, Doria Ragland.

Terdahulu, Meghan yang memakai gaun pengantin berwarna putih rekaan Clare Waight Keller dari rumah fesyen Perancis, Givenchy tiba di gereja St George dengan menaiki kereta sambil ditemani dua kanak-kanak lelaki pengiring.

Beliau disambut bakal bapa mertua, Putera Charles ketika di pertengahan sebelum diiiringi dan diserahkan kepada Putera Harry yang sedang menunggu sambil ditemani, abangnya, Putera William.

Putera Harry dan Putera William memakai pakaian seragam berwarna biru bagi mewakili rejimen tentera yang dianggotai Harry ketika bertugas di Afghanistan sepanjang 10 tahun perkhidmatannya dengan tentera British.

Meghan turut memegang jambangan bunga yang dipilih sendiri, Putera Harry dari taman di Istana Kensington.

Upacara pernikahan kedua pasangan diketuai oleh Ketua Biskop Canterbury, Justin Welby.

Selepas melafazkan ikrar, pasangan itu bertukar-tukar cincin, iaitu diperbuat daripada emas bagi Meghan, manakala Harry pula cincin platinum.

Pasangan itu kemudiannya diarak menaiki kereta kuda kereta Ascot Landau mengelilingi sekitar Windsor sebelum menuju ke majlis resepsi di Istana Windsor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 10:13 PM