PERKAHWINAN Putera Harry dan Meghan akan berlangsung di Gereja St George. -Foto Reuters
Reuters

PERKAHWINAN Putera Harry dan aktres Meghan Markle hari ini akan berlangsung dalam suasana mewah yang menggabungkan aura glamour Hollywood dan tradisi Diraja British.

Ratusan juta penduduk dunia dijangka menonton majlis cucunda Ratu Elizabeth dan pelakon siri televisyen ‘Suits’ itu yang akan dilangsungkan di gereja binaan abad ke-15, Gereja St George di Istana Windsor di sini.

Lebih 100,000 peminat juga dilaporkan akan mengerumuni jalan-jalan sempit di bandar itu yang menempatkan istana tidak berpenghuni paling tua dan paling besar di dunia, iaitu kediaman 39 monarki Inggeris sejak tahun 1066.

“Saya sangat menyukai segala perkara berkaitan keluarga Diraja, semua keseronokan dan perarakan bersama kereta kuda,” kata Jane Tofolo, 56 dari barat daya London yang pernah bersalaman dengan Putera Harry ketika putera itu tanpa dirancang berjalan di luar istana berkenaan bersama abangnya, Putera William dan pengapit lelaki di luar istana, petang semalam.

“Ia akan menjadi satu acara yang sangat menakjubkan kerana rakyat Britain ‘pakar’ dalam ini semua,” katanya.

Harry, 33 ialah pewaris keenam takhta British, manakala Markle, 36 adalah seorang janda yang beribukan wanita Afrika-Amerika dan berbapakan seorang lelaki kulit putih.

Kepada sejumlah besar peminat, perkahwinan berkenaan ibarat kisah dongeng yang menjadi nyata manakala untuk segelintir rakyat Britain, ia dilihat sebagai berakhirnya halangan untuk era moden Britain.

Namun begitu ramai juga berpendapat perkahwinan berkenaan bukan sesuatu yang relevan malah undian menunjukkan, sebahagian besar rakyat Britain tidak akan menonton majlis itu di televisyen apabila ia berlangsung kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 9:49 PM