KEADAAN di sekolah di Santa Fe yang terlibat dengan tembakan rambang. -Foto Reuters
Reuters

SEKURANG-kurangnya 10 orang maut apabila seorang pelajar lelaki melepaskan tembakan di sebuah sekolah tinggi di Texas, hari ini, kata Sherif tempatan.

Pegawai berkenaan juga turut mengesahkan suspek berkenaan sudah berjaya ditahan sementara seorang lagi diberkas untuk tujuan siasatan.

Insiden itu adalah kes tembakan maut terbaharu di sekolah Amerika Syarikat dalam tempoh sejak beberapa tahun lalu.

Pada Februari lalu, 17 remaja dan guru ditembak mati di Parkland, Florida dalam insiden yang mencetuskan perdebatan sejak sekian lama mengenai pemilikan senjata.

Sherif daerah Harris, Ed Gonzalez berkata, sekurang-kurangnya 10 orang termasuk pelajar dan individu dewasa maut dalam insiden di sekolah itu yang terletak 48 kilometer di tenggara Houston.

“Seorang suspek sudah ditahan. Individu kedua juga diberkas dan sedang disoal siasat,” kata Gonzalez dalam sidang media.

Menurut sumber kerajaan, sekurang-kurangnya sembilan orang dibawa ke hospital untuk rawatan.

Gonzalez berkata, seorang anggota polis turut dirawat kerana cedera.

Beberapa gambar yang disiarkan secara langsung di televisyen menunjuk barisan pelajar dan bas mengelilingi sekolah itu.

“Situasi cemas ini sudah berakhir dan mangsa cedera sedang dirawat,” kata jabatan sherif di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 1:50 AM