GUNUNG Merapi mengeluarkan asap dan debu. FOTO Reuters
Reuters

PIHAK berkuasa Indonesia mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Merapi di pulau Jawa meninggalkan rumah dan lapangan terbang utama ditutup apabila puncak setinggi 5,500 meter itu mengeluarkan asap dan debu ke udara.

Merapi, terletak di pulau Jawa dan paling aktif di Indonesia mengeluarkan beberapa letusan pada 2010 yang meragut lebih 350 nyawa.

Jurucakap agensi pencegahan bencana, Sutopo Purwo Nugrogo dalam satu kenyataan mengarahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan pergunungan itu berpindah ke pusat perlindungan.

Katanya, 120 orang yang mendaki gunung berapi itu dalam keadaan selamat.

Lapangan terbang di Jogjakarta, bandar terbesar dan hampir dengan gunung berapi itu ditutup kerana ancaman debu, kata agensi penerbangan negeri, AirNav dalam satu kenyataan.

Agensi itu menyifatkan letusan terbaharu Merapi sebagai freatik, bermaksud magma memanaskan air bawah tanah dan wapnya dilepaskan dengan tekanan.

Status amaran Merapi bagaimanapun tidak dinaikkan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:18 AM