AKHBAR Phnom Penh Post. FOTO AFP
AFP

Phnom Penh: Akhbar dianggap surat khabar bebas bahasa Inggeris terakhir Kemboja dijual penerbitnya dari Australia kepada pelabur Malaysia.

Pengerusi akhbar Phnom Penh Post, Bill Clough dalam satu kenyataan kelmarin berkata, akhbar itu dibeli pelabur yang hanya dikenali sebagai Sivakumar G. Kenyataan yang tidak menyatakan nilai jualan menggambarkan pemilik barunya sebagai ‘orang media yang amat disegani’ dengan pengalaman meluas dalam bidang kewartawanan dan mewakili kumpulan pelabur kuat dari Malaysia.

Penjualan yang mengejutkan kakitangannya itu mencetuskan persoalan mengenai media bebas di negara itu yang melihat penutupan akhbar bahasa Inggeris utama lain tahun lalu.

Wartawan bebas Abby Seiff berkata: “The Post memang akhbar terakhir yang melakukan siasatan mendalam terhadap isu rasuah, pembalakan haram serta politik.

“Golongan wartawan agak bimbang dengan implikasi di sebalik jualan ini memandangkan pilihan raya akan diadakan dua bulan lagi dan tidak banyak media bebas lagi di negara ini.”

Pesaing utama Post, Cambodia Daily, dipaksa ditutup pada Ogos 2017, yang diumumkan pada hari sama pihak berkuasa menahan ketua pembangkang Kem Sokha atas tuduhan derhaka.

Puluhan stesen radio ditutup, manakala dua wartawan turut dipenjara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 9:55 AM