LOKASI pesawat kargo Hercules C-130 milik Pengawal Udara Kebangsaan Puerto Rico yang terhempas berhampiran lapangan terbang di Savannah. FOTO EPA-EFE
AFP

PEGAWAI rasmi mengesahkan semua lima kru, pesawat kargo tentera yang terhempas di negeri Georgia, selatan Amerika Syarikat (AS) semalam, maut.

Pesawat kargo Hercules C-130 itu yang dimiliki Pengawal Udara Kebangsaan Puerto Rico terhempas kira-kira jam 11.30 pagi waktu tempatan berhampiran lapangan terbang di Savannah.

“Lima orang maut,” kata jurucakap Pengawal Kebangsaan Georgia.

Tentera AS digegarkan beberapa kemalangan penerbangan, sejak beberapa minggu lalu termasuk insiden sebuah jet pejuang F-16 terhempas di Las Vegas, bulan lalu sehingga mengorbankan juruterbangnya.

Sehari sebelum itu, empat kru maut selepas sebuah helikopter tentera laut AS terhempas, ketika dalam misi latihan rutin di selatan California.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 4:31 AM