BEBERAPA mangsa dilihat terbaring berlumuran darah di lokasi serangan bom berani mati di Kabul. - Reuters
ANGGOTA keselamatan Afghanistan berlindung ketika seorang penyerang berani mati meletupkan dirinya. - Reuters
BEBERAPA wartawan dilihat cedera sejurus letupan kedua yang menyasarkan pengamal media yang membuat liputan di lokasi serangan bom berani mati di Kabul semalam. - Reuters
AFP

Kabul: Sembilan wartawan termasuk ketua jurugambar agensi Agence France-Presse (AFP) di Afghanistan antara 25 mangsa yang maut dalam dua serangan bom berani mati berasingan di Kabul semalam.

Organisasi Wartawan Tanpa Sempadan melaporkan, serangan didakwa dilakukan Daish itu adalah yang terburuk disasarkan kepada agensi media sejak kejatuhan Taliban pada 2001.

Jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai, letupan kedua selang beberapa minit selepas serangan kedua menyasarkan sekumpulan wartawan yang membuat liputan di lokasi itu.

“Penyerang menyamar sebagai wartawan dan meletupkan diri bersama orang ramai,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri mengesahkan jumlah kematian dan memberitahu seramai 49 lagi cedera.

Wartawan Tanpa Sempadan dalam satu kenyataan memberitahu, sembilan wartawan yang terbunuh itu termasuk ketua jurugambar AFP Afghanistan, Shah Marai dan beberapa wartawan Radio Free Europe, Tolo News dan 1TV.

Marai menyertai AFP sebagai pemandu pada 1996, ketika Taliban merampas kuasa dan mula merakam gambar dan membuat liputan di negara itu termasuk ketika pencerobohan tentera Amerika Syarikat pada 2001.

Wartawan di Afghanistan turut berkabung dengan kejadian itu dan menggunakan Twitter untuk memberi penghormatan kepada rakan mereka yang terbunuh.

Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, 11 kanak-kanak terbunuh dan 16 lagi cedera selepas seorang penyerang meletupkan keretanya yang penuh dengan bahan letupan berhampiran satu konvoi bantuan di Kandahar, kata pegawai.

Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 4:32 AM