RUSSIA akan membekalkan peluru berpandu sistem pertahanan udara S-300 kepada Syria. - Agensi
Reuters

Moscow: Serangan terhadap Syria oleh Amerika Syarikat dan sekutunya minggu lalu, menolak semua tanggungjawab moral Russia untuk tidak membekalkan sistem pertahanan udara termodennya, S-300 kepada regim Presiden Bashar-al Assad.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata sebelum serangan Amerika dan sekutunya minggu lalu, Russia sudah memberitahu Amerika kawasan yang dianggap garisan merah yang tidak boleh dilanggar dilepasi tentera Amerika.

“Kini, kami tiada lagi tanggungjawab moral seperti yang kami pertahankan sejak 10 tahun lalu,” katanya yang dipetik agensi berita Russia, RIA.

Menurutnya, beliau sudah meyakinkan Presiden Russia Vladimir Putin dan Presiden Amerika, Donald Trump, agar tidak berlaku pertembungan senjata antara kedua-dua negara.

Sistem peluru berpandu pertahanan udara S-300, antara yang termoden selepas S-400 akan meningkatkan kemampuan Russia dan Syria mengawal ruang udara negara itu.

Sistem pertahanan udara dimiliki Syria sekarang keluaran era Soviet Union yang sudah berusia 30 tahun, tidak mampu menangkis serangan peluru berpandu pintar.

Minggu lalu, Amerika, Britain dan Perancis membedil 105 peluru berpandu menggunakan pesawat, kapal perang dan kapal selam terhadap tiga sasaran utama di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 3:08 AM