Kucing terperangkap dalam konkrit diselamatkan oleh bomba. FOTO Cen Spas via Daily Mail
Daily Mail

Astana: Detik seekor kucing terperangkap di dalam bongkah konkrit sebelum diselamatkan bomba di Kazakhstan sempat dirakam orang ramai dan disebarkan meluas di media sosial.

Dalam kejadian di Karaganda itu, kucing terbabit masuk ke dalam bongkah konkrit di tapak pembinaan sebelum terperangkap disebabkan ruang yang sempit menyebabkannya sukar bernafas.

Pejalan kaki kebetulan melalui kawasan itu terdengar ngiauan kucing dari dalam bongkah konkrit itu lalu menghubungi bomba.

Haiwan itu akhirnya dilepaskan selepas bomba mengambil masa sejam membesarkan lubang berkenaan dengan penuh berhati-hati.

Ketua bomba daerah Andrey Friedovsky berkata: “Ketika anggota kami tiba, kami cuma nampak mulut dan hidung kucing itu terjulur dari bongkah berkenaan.

“Kucing itu masuk melalui lubang di dalam bongkah berkenaan yang menyempit semakin dia sampai ke hujungnya sehingga akhirnya terperangkap.”

Video itu dikongsikan meluas di media sosial dan rata-rata mendapat pujian pencinta haiwan.

“Baiknya kamu semua, terima kasih pada yang menemui kucing itu dan menyelamatkannya.

Mungkin ia cuba melarikan diri daripada anjing,” kata pengguna media sosial, Mamysheva Layla.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 12:03 AM