Anggota polis berkawal di pondok polis selepas anggota polis remaja tembak mati rakan sekerja di Hikone. FOTO KYODO
Agensi

Tokyo: Seorang anggota polis remaja ditahan kerana menembak mati rakan sekerjanya selepas tidak tahan dibuli, lapor media tempatan.

Suspek berusia 19 tahun tidak dinamakan itu dilaporkan memberitahu pihak berkuasa dia menembak Sarjan Akira Imoto, 41.

Mayat mangsa ditemui dalam pondok polis di Hikone, daerah Shiga, lewat Rabu, kata jurucakap polis kepada AFP.

Penyiar kebangsaan NHK memetik sumber polis berkata, suspek memberitahu penyiasat dia tidak tahan dibuli rakan sekerjanya itu.

Japan Today melaporkan, mayat Imoto ditemui dalam keadaan duduk di mejanya dengan kesan tembakan pada belakang dan tengkuk.

Pistolnya juga tidak disimpan rapi dan tidak menunjukkan tanda digunakan.

Menurut Japan Times, Imoto ditugaskan melatih suspek dan polis berkata, tidak melihat sebarang masalah antara dua anggota berkenaan sebelum kejadian.

Agensi Polis Kebangsaan percaya kejadian itu pembunuhan pertama membabitkan anggota remaja. Manakala Komisioner Jeneral agensi itu, Shunichi Kuryu berkata ia juga kes pertama pembunuhan anggota oleh rakan setugas dengan cara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 5:20 PM