PUTERA Harry dan tunangnya, Meghan Markle. FOTO AFP
AFP

PUTERA Harry dan tunangnya, Meghan Markle, dijangka menjadi pasangan berpengaruh yang akan mendefinisikan semula monarki Britain untuk generasi baru, kata penulis biografi aktres itu, Andrew Morton.

Pelakon Amerika Syarikat itu akan menjadi sebahagian generasi muda ‘Fab Four’ dalam keluarga diraja, dan mempunyai idea sendiri untuk mengubah institusi berkenaan.

Harry, yang berada pada senarai kelima pewaris takhta, dan Markle, 36, dijangka berkahwin pada 19 Mei ini di Istana Windsor.

“Meghan dan Harry akan menjadi pasangan berpengaruh. Bersama-sama mereka akan melakukan perubahan.

“Anda akan melihat mereka lebih banyak bertindak sebagai aktivis berbanding pasangan diraja sebelum ini,” kata Morton, yang bercakap dengan puluhan pegawai diraja, rakan dan keluarga pasangan itu bagi menulis buku berkenaan.

Biografi bertajuk ‘Meghan: Puteri Hollywood’ akan diterbitkan bulan ini.

Beliau meramalkan ketika abang Harry, Putera William, dan isteri, Kate Middleton, menjadi wajah domestik monarki, Harry dan Markle akan menghabiskan banyak masa mewakili monarki di Komanwel, terutama Afrika.

“Individu yang serius kini melihat masa depan, memikirkan monarki akan berubah mendadak.

“Mereka yang melihat masa depan sebenar cara monarki dibentuk, digayakan dan didefinisikan ialah William, Harry, Catherine dan Meghan. Jadi, Meghan memang sebahagian Fab Four,” katanya.

Dalam biografinya, Morton memetik rakan sewaktu kecil Markel, sebagai berkata: “Beliau kagum dengan keluarga diraja. Beliau mahu menjadi puteri Diana 2.0.” – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 11:18 AM