Masazo Nonaka makan kek selepas menerima sijil pengiktirafan daripada Rekod Dunia Guinness di kediamannya di Hokkaido. - AP

Tokyo: Warga emas Jepun, Masazo Nonaka dinobatkan lelaki tertua dunia pada usia 112 tahun 259 hari, umum Rekod Dunia Guinness, semalam.

Naib Presiden Jepun Rekod Dunia Guinness Erika Ogawa menyerahkan sijil pengiktirafan itu kepada Nonaka di kediamannya di Hokkaido, susulan kematian pemegang terdahulu, Francisco Nuñez Olivera, Februari lalu, pada usia 113 tahun.

Nonaka dilahirkan pada 25 Julai 1905 dan mempunyai lapan adik-beradik lain termasuk seorang perempuan namun semuanya sudah meninggal dunia. Dia juga mempunyai lima anak hasil perkahwinan dengan isterinya Hatsuno - yang juga sudah meninggal dunia - pada 1931.

Keluarga Nonaka berkata, dia masih mampu bergerak sendiri menggunakan kerusi roda dan gemar makan manisan serta menonton televisyen, terutama sumo dan drama samurai.

Dia antara kira-kira 67,800 warga emas berusia lebih 100 tahun di Jepun, negara yang mempunyai jangka hayat tertinggi dunia iaitu 80.98 bagi lelaki dan 87.14 untuk wanita, kata kementerian kesihatan, buruh dan kebajikannya.

Wanita Jepun, Nabi Tajima, 117, warga tertua Jepun, dijangka dinobatkan yang tertua dunia bagi menggantikan Violet Moss-Brown of Jamaica yang meninggal dunia pada September lalu pada usia 117 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:11 AM