Penduduk Palestin berkumpul ketika perhimpunan ‘Perarakan Pulang’ di sempadan Israel-Gaza. - Reuters
AFP

Washington: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, membuat kenyataan yang mengejutkan banyak pihak apabila berkata Israel berhak memiliki negara sendiri.

Putera itu berkata demikian dalam temuramah dengan editor majalah The Atlantic di Washington, semalam.

Beliau ditanya Jeffrey Goldberg adakah masyarakat Yahudi mempunyai hak memiliki negara sendiri, sekurang-kurangnya di kawasan nenek moyang mereka.

“Saya percaya setiap orang, di mana saja, mempunyai hak tinggal di negara mereka yang aman.

“Saya percaya penduduk Palestin dan Israel mempunyai hak untuk memiliki negara sendiri.

“Namun, kita perlu adakan perjanjian damai bagi memastikan kestabilan untuk semua orang dan memiliki hubungan normal,” katanya.

Arab Saudi dan Israel tiada hubungan diplomatik rasmi namun di sebalik tabir, hubungan kedua-dua negara semakin baik sejak beberapa tahun ini.

Kedua-duanya menyaksikan Iran sebagai ancaman dan Amerika Syarikat sebagai sekutu utama.

Sejak 2002, Arab Saudi menjadi penaja utama usaha damai Arab, termasuk konflik Israel-Palestin.

Namun, belum pernah pegawai kanan Arab Saudi menerima bahawa Israel mempunyai hak wilayah Palestin.

Mohammed memberitahu Goldberg beliau tidak membantah untuk penduduk Israel menetap bersama-sama rakyat Palestin selain Masjid al-Aqsa dilindungi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 5:47 AM